KESEDAR Terus Memerkasa Ekonomi Masyarakat Luar Bandar
JELI – Seramai empat orang telah menerima bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) hari ini. Sesi penyampaian tersebut diadakan di Pejabat Wilayah KESEDAR Jeli-Tanah Merah yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi KESEDAR Ybrs En Bahari bin Mohd Nor.
Program Peningkatan Pendapatan (PPP) merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan semasa dan seterusnya keluar daripada zon kemiskinan.
Peserta PPP terdiri daripada kumpulan sasar yang didaftar dalam E-kasih berstatus miskin, miskin tegar serta masyarakat berpendapatan rendah iaitu golongan B40.
Mereka yang layak akan menerima bantuan peralatan serta latihan dan kadar bantuan maksimum berjumlah RM10,000 bagi setiap seorang.
Turut hadir pada program tersebut, Timbalan Pengurus Besar Pembangunan KESEDAR, Tuan Haji Wan Mohd Rahimi bin Wan Salleh, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf dan Pengurus Wilayah Jeli & Tanah Merah, En Husnifaisal Ramli.