Seramai 30 peserta Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) mengikuti Kursus Welding dan Kursus Air Conditioning & Mechanical Ventilation bermula semalam di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Utara.
Kursus yang berlangsung selama tiga bulan ini adalah usaha kerajaan melalui KESEDAR dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi di kawasan Kelantan Selatan.
PLKK diwujudkan di bawah Bahagian Kesejahteraan Rakyat yang mana merupakan proses pendidikan dan latihan yang menyediakan peluang pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dan melahirkan modal insan yang berkemahiran serta berdaya saing.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, pada tahun lalu, program ini telah memberi manfaat kepada 50 peserta iaitu belia di kawasan Kelantan Selatan dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM300,000.
Katanya, kerajaan melalui PLKK bermatlamat untuk mengurangkan kadar pengangguran, menyokong pembangunan ekonomi, memenuhi keperluan industri, meningkatkan kualiti hidup, memperkasakan golongan belia serta menyokong inovasi dan keusahawanan.
“KESEDAR turut menyediakan beberapa kemudahan kepada peserta seperti elaun bulanan sebanyak RM150, yuran, penginapan dan makan minum ditanggung sepenuhnya, pusat latihan serba lengkap, tenaga pengajar yang berpengalaman serta jaminan peluang kerjaya selepas tamat kursus.
“Saya berharap peserta yang terpilih pada kali ini dapat memanfaatkan peluang yang ada dengan belajar bersungguh-sungguh dan sabar dalam
menempuh dalam apa jua cabaran yang mendatang.
“Saya percaya, dengan usaha dan ketekunan yang tinggi, peserta ini akan menjadi seorang yang berjaya satu hari nanti dan mampu mengubah taraf hidup keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penghantaran Peserta Program Latihan Kemahiran Kerjaya (PLKK) KESEDAR di Dewan Dato Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, semalam.
PLKK telah menjadi fokus utama yang mana kerajaan terus memperkukuhkan sektor pendidikan dalam usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi.
Ini penting bagi memastikan survival dan aktiviti ekonomi dalam Negara dapat diteruskan tanpa perlu bergantung kepada tenaga asing.