Bengkel Pra Desa Lestari Zon Timur

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dengan kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA) telah diberi peranan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menganjurkan Bengkel Pra Desa Lestari Zon Timur (Kelantan dan Terengganu) Tahun 2025.

Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan di kampung, memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan melalui koperasi dan membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Bengkel ini berlangsung di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu bermula pada 28 hingga 30 April 2025 dan telah disertai 20 koperasi terpilih dari seluruh negeri Kelantan dan Terengganu.

Bengkel ini dijalankan selama tiga hari dua malam, dan merangkumi modul-modul praktikal seperti rekod Kewangan Asas & Laporan Berkala, asas Pembangunan Produk / Servis dan Rancangan Penggunaan Geran.

Turut hadir ialah delegasi daripada KKDW yang diketuai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Ekonomi Komuniti, YBrs. Puan Siti Azwah Mohd Zubir.

Bengkel ini disertai 96 peserta meliputi 20 buah kampung di seluruh negeri Kelantan dan Terengganu.