Kepimpinan Pelajar SMK Tengku Bendahara : Kesinambungan Kepimpinan Wilayah KESEDAR

SMK Tengku Bendahara, Gua Musang yang merupakan sekolah angkat KESEDAR telah menganjurkan Kem Kepimpinan Badan Pemimpin Pelajar bertempat di Krai Park Training Centre pada 24 – 26 Mei 2022.

Dr. Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR dalam ucapan perasmian penutup kem berharap agar program selama 3 hari 2 malam tersebut menjadi platform memupuk ciri kepemimpinan dan memperkukuh jati diri pewaris kepimpinan masyarakat Wilayah Kelantan Selatan. Pemimpin-pemimpin muda berbakat besar ini diingatkan untuk sentiasa fokus kepada pelajaran dan mengasah bakat kepimpinan melalui proses “relearn” dan “unlearn” yang berterusan.

Dr. Shahrir menyatakan komitmen untuk terus membantu warga pelajar SMK Tengku Bendahara sehingga menjadi contoh dalam akademik dan pembinaan modal insan kamil di Wilayah Kelantan Selatan. Pelbagai program bagi pembinaan karakter dan pengukuhan dalam akademik dan kokurikulum kepada kepimpinan pelajar sekolah jajahan Gua Musang akan diberi keutamaan pada tahun ini sebelum diperluas ke seluruh Wilayah Kelantan Selatan. Kepimpinan masyarakat Wilayah Kelantan Selatan khususnya dan kepimpinan negara amnya bermula dari institusi pendidikan. Menyedari hakikat ini, Pengurus Besar KESEDAR memberi perhatian kepada segmen penting pembangunan modal insan ini selain tanggungjawab besar pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi yang telah sedia digalas.

Majlis perasmian penutup tersebut turut dihadiri oleh Tuan Hj. Ajuri Yaacob, Pengetua SMK Tengku Bendahara, En. Mohd Fadhly Ab Manaf, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat KESEDAR, Tuan Hj. Mohd Khairul Bahri Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tengku Bendahara, En. Ahmad Said, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Tengku Bendahara, Puan Rokiah Ali, Penolong Kanan Ko-kurikulum SMK tengku Bendahara dan guru-guru SMK Tengku Bendahara.