1

Kerajaan Peruntuk RM153.2 Juta Bagi Pembangunan Di Wilayah Kelantan Selatan

Kerajaan memperuntukkan RM153.2 juta untuk tujuan pembangunan di Wilayah Kelantan Selatan melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bermula 2021 hingga 2024.

Pada tahun 2024, kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM36.47 juta merangkumi pelaksanaan 27 program dan projek pembangunan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada tahun ini, KKDW melalui KESEDAR telah memperuntukan RM3.9 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan Jeli.

Katanya, ia melibatkan projek kemudahan awam, infrastruktur dan utiliti desa yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk setempat.

“Antara projek utama lain yang akan dilaksanakan di Jeli adalah Projek Menaiktaraf Jalan Jeli-Kg. Reka Luar, Kuala Balah-Dabong KM37-KM38.1 yang menelan belanja sebanyak RM14 juta.

“Kita sedia maklum mengenai jalan sedia ada sering berdepan masalah banjir sehingga menyukarkan penduduk untuk ke bandar Jeli bagi mendapatkan bekalan keperluan dan rawatan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Sempena Lawatan Kerja ke Parlimen Jeli di Dewan Besar Kampung Bukit Nangka, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Dalam usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat, KESEDAR telah diperuntukkan RM2.07 juta bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Wilayah Kelantan Selatan.

Program ini merangkumi program bina baru dan baik pulih rumah yang mana pada 2023 dan 2024, KKDW telah meluluskan 28 unit bina baru rumah PPRT dengan kos RM1.8 juta dan 47 unit untuk projek baik pulih dengan kos RM705,000 kepada penduduk Jeli.

Selain itu, KESEDAR turut menerima peruntukan bagi bantuan persekolahan di Wilayah Jeli sebanyak RM25,000 untuk diagihkan kepada 150 pelajar sekolah di kawasan ini.

Dalam pada itu, KESEDAR juga telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan program pembangunan ekonomi seperti program kotej bersepadu, bantuan pemulihan premis perniagaan dan kelestarian keusahawanan berjumlah RM184,000 yang memberi manfaat kepada 18 usahawan di Wilayah Jeli.

Accessibility Toolbar