KUALA KRAI – Seramai kira-kira 1,000 penduduk sekitar Kuala Krai berjaya mendapa suntikan vaksin Covid-19, menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19, hari ini.
Program yang dilaksanakan di perkarangan Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Wilayah Kuala Krai ini mendapat maklum balas positif daripada penduduk setempat apabila mereka tidak perlu lagi keluar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang diadakan luar daripada kawasan penempatan mereka.
Inisiatif KESEDAR dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini adalah usaha berterusan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya sekaligus meningkatkan peratusan penerima vaksin bagi kawasan luar bandar.
Program berkenaan dihadiri oleh ahli Parlimen Kuala Krai YB Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh dan Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.
Sempena program berkenaan juga, YB Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman bersama TPB (D) Tn Hj Wan Muhd Rahimi Wan Salleh turut menziarahi beberapa keluarga yang terdiri daripada golongan B40 bagi menyampaikan bantuan bakul makanan untuk meringankan beban mereka ekoran penularan pandemik Covid-19.