KUALA KRAI – Seramai 730 penduduk Kampung Telekong, berjaya melengkapkan dos kedua suntikan vaksin Covid-19, menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19, hari ini.
Program yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Telekong ini mendapat maklum balas positif daripada penduduk setempat apabila mereka tidak perlu lagi keluar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang diadakan luar daripada kawasan penempatan mereka.
Inisiatif Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini adalah usaha berterusan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya sekaligus meningkatkan peratusan penerima vaksin bagi kawasan luar bandar.
Program berkenaan dihadiri Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh dan Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.
Pada program berkenaan, KESEDAR turut menyumbangkan bantuan keperluan seperti kerusi roda, bidai plastik dan kipas bagi kegunaan Program Outreach kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai.
Sempena program berkenaan juga, Tn Hj Wan Muhd Rahimi Wan Salleh juga turut menziarahi beberapa keluarga yang terdiri daripada golongan B40 bagi menyampaikan bantuan bakul makanan untuk meringankan beban mereka ekoran penularan pandemik Covid-19.