KESEDAR Peruntuk RM3 Juta Bagi Projek Pembangunan Coffee Valley
Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperuntukkan RM3 juta bagi keseluruhan projek Pembangunan Coffee Valley.
Pembangunan projek berkenaan merangkumi peruntukan pada tahun 2025 iaitu sebanyak RM1 juta.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, KESEDAR komited dalam pelaksanaan projek-projek hasil baharu dengan menempatkan kakitangan khusus bagi menjayakan projek ini.
“KESEDAR membangunkan tanaman kopi Robusta di kawasan seluas 57.54 hektar dengan kerjasama Nestle Malaysia di bawah Program NESCAFE Grown Respectfully.
“Kita melihat industri tanaman kopi bukan sahaja dapat memenuhi keperluan negara bahkan ia berpotensi untuk dieksport sekali gus menjana ekonomi negara.
“Kopi adalah komoditi yang dilihat mampu meningkatkan pendapatan menerusi penjualan produk dan peluang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Solat Hajat dan Perasmian Pejabat Tapak Coffee Valley di Tapak Tanaman Kopi KESEDAR Paloh 4, Gua Musang.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Encik Mohd Fadhly Ab Manaf dan Pengurus Bahagian Pembangunan Pertanian, Encik Wan Mohd Afzainizam Wan Abdul Latif.