GUA MUSANG – Sempena Bulan Kebangsaan yang disambut setiap tahun di negara ini, KESEDAR telah mengambil inisiatif melancarkan ‘Soft Launching’ Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat KESEDAR bagi tahun 2021 yang masih mengekalkan tema Malaysia Prihatin.
Pengurus Besar KESEDAR, YABrs Dr. Shahrir Bin Mohammad Zakey telah menyempurnakan gimik pelancaran tersebut di perkarangan lobi ibu pejabat KESEDAR dengan melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan jabatan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) YBrs Tn Hj Wan Muhd Rahimi Wan Salleh, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) YBrs Pn Hjh Norlidasaidi Awang Teh, Pengurus-Pengurus Bahagian, Pengurus Wilayah Gua Musang, Ketua-Ketua Unit dan sebahagian warga KESEDAR.
Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia yang mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.
Ini kerana melalui patriotisme yang sentiasa diperteguhkan, kita akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat meskipun berlainan kaum, agama dan latarbelakang.
Ini adalah seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan kerajaan dalam menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat ketika kita masih memerangi pandemik COVID-19 semenjak lebih setahun yang lalu.
Bersempena dengan ‘Soft Launching’ ini juga, KESEDAR melaksanakan pengukuhan jati diri dan pemantapan solidariti dalam kalangan warga KESEDAR melalui aktiviti gotong royong yang melibatkan pelbagai peringkat termasuklah pengurusan tertinggi.
Antara aktiviti lain yang turut dilaksanakan sepanjang bulan kebangsaan ini seperti pertandingan hiasan mengibar Jalur Gemilang antara Bahagian/Wilayah/Unit, gotong-royong Merdeka, jati diri Kemerdekaan secara atas talian serta diakhiri dengan pendakian ke puncak bukit Gua Musang bagi membersih dan menceriakan kawasan yang akan menjadi tarikan pelancong.