KESEDAR Turut Memperkasa Akademik Remaja Di Wilayah Kelantan Selatan Pasca Covid-19

 

GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) terus komited dalam usaha untuk memperkasa akademik remaja di Wilayah Kelantan Selatan pasca Covid-19 supaya terus berada pada landasan yang sewajarnya.

Sejajar dengan hasrat tersebut, KESEDAR telah memilih Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara (SMKTB), Gua Musang sebagai sekolah angkat untuk memaksimumkan potensi dari segenap aspek yang mempengaruhi kemenjadian murid.

KESEDAR juga akan berkolaborasi dengan lebih rapat bersama pihak sekolah termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi merealisasikan hasrat untuk meningkatkan pencapaian pelajar di luar bandar supaya setanding dengan murid di bandar.

Pengurus Besar KESEDAR, Dr Shahrir bin Mohammad Zakey telah hadir menyampaikan ucapan dan memberi kata-kata motivasi kepada lebih 100 orang calon SPM 2021 di Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih anjuran SMKTB. Majlis tersebut juga dihadiri Pengetua SMKTB, Tuan Haji Ajuri bin Yaacob dan Pengerusi PIBG, Tuan Haji Mohd Khalid bin Sulaiman.