Kunjungan Hormat Pengurusan KESEDAR Ke Pejabat SUK Kelantan
Pengurusan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan hari ini.
Kunjungan hormat ini diketuai oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal (Tengku Kaya Perkasa).
Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman serta membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan tanah peneroka.
Antara perkara yang dibincangkan ialah penyaksian / penyerahan borang 14A Pindahmilik Tanah kepada Peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Bayaran Tanah Pesuruhjaya Tanah Kelantan (PTK), pengembalian deposit pengambilan tanah di kawasan Tanah Tinggi Lojing dan hal-hal berkaitan tanah peneroka Rancangan Pemulihan Tanah (RPT).
Semoga kerjasama yang terjalin antara KESEDAR dan Kerajaan Negeri akan memberi manfaat kepada rakyat terutamanya peneroka di kawasan Kelantan Selatan.