Kursus Asas Pengurusan Perniagaan Kewangan Dan Pemasaran

Kursus Asas Pengurusan Perniagaan Kewangan dan Pemasaran di bawah Program Sokongan Perniagaan (PSP) telah diadakan pada 15 dan 16 Jun 2025 bertempat di Dewan Merak, KESEDAR Hotel Travel & Tours Sdn Bhd.

Kursus yang melibatkan penyertaan seramai 100 peserta ini merupakan antara inisiatif strategik bagi memperkasa masyarakat luar bandar agar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia perniagaan yang semakin kompetitif.

Objektif utama kursus di bawah Program Rehabilitasi Komuniti 2025 ini adalah untuk memberi pemahaman asas mengenai pengurusan kewangan, pemasaran dan operasi perniagaan.

Selain itu, program ini juga bertujuan membekalkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal untuk membina perniagaan yang mampan dan berdaya saing.

Melalui kursus ini, peserta didedahkan kepada kaedah pengurusan aliran tunai, penetapan harga jualan, strategi pemasaran digital dan penyusunan pelan perniagaan asas.

Sepanjang dua hari, pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan termasuk latihan simulasi, pembentangan kes dan perbincangan kumpulan.

Kursus ini turut menekankan kepentingan perancangan yang teratur serta disiplin dalam pengurusan kewangan.

Selain itu, ilmu mengenai pemasaran digital dan penggunaan media sosial juga menjadi antara modul yang paling mendapat sambutan dalam kalangan peserta terutamanya belia.

Kursus ini disempurnakan oleh Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Puan Yunaiha Ismail.

Secara keseluruhannya, kursus ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan pendedahan awal kepada peserta tentang aspek-aspek penting dalam dunia perniagaan.