1

Lebih 300,000 Pengunjung Meriahkan Program Madani Rakyat Zon Timur

Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur telah melabuhkan tirainya semalam selepas berlangsung selama tiga hari bermula 5 Julai lalu di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang.

Program ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Program ini juga merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksana oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menariknya, siri ketiga penganjuran ini mendapat sambutan luar jangka apabila mencatat jumlah pengunjung tertinggi iaitu melebihi 300,000 kunjungan.

Sebanyak 34 pameran reruai dan 188 perkhidmatan daripada pelbagai kementerian serta agensi disertakan untuk kemudahan pengunjung.

Program ini memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat dan agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan selain kesejahteraan luar bandar, perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan.

Dalam pada itu, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) turut membawa instrumen tradisional Melayu seperti pertandingan gasing, rebana ubi dan aktiviti sepak takraw untuk tontonan pengunjung yang hadir.

Accessibility Toolbar