Lebih 3,000 tetamu yang terdiri daripada penduduk setempat membanjiri Dataran Awam Kampung Jerek, Gua Musang bagi memeriahkan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR 2025 semalam.
Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ini turut disempurnakan dengan Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kepada penerima.
Menerusi ucapannya, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut mengumumkan beberapa kelulusan projek pembangunan di kawasan Kelantan Selatan terutamanya di Dun Nenggiri.
Antaranya ialah peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan Masjid Mukim Jerek dan RM2 juta untuk jambatan di Kampung Batu 10.
Selain itu, beliau turut mengumumkan pembukaan semula KPTM di Gua Musang bagi memberi manfaat kepada belia terutamanya di daerah ini untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang bersesuaian.
Majlis ini turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, ADUN Galas, YB Tuan Haji Mohd Syahbuddin Hashim, Pengerusi KESEDAR, Datuk Haji Zawawi Othman, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.
Dalam pada itu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyaksikan acara menandatangani Borang 14A Pindah Milik Tanah antara peneroka dan Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Mohd Roshdi Ismail.