Penyerahan Barangan Di Bawah Program Bantuan Perniagaan Agropolitan (PBPA) Tahun 2025

Rantau Manis, 26 November 2025 – Seramai 23 orang usahawan daripada pelbagai bidang perniagaan menerima barangan di bawah Program Bantuan Perniagaan Agropolitan (PBPA) 2025 dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Dewan Taman Agropolitan, Rantau Manis.

Majlis penyerahan berkenaan telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Galas, yang turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan penghargaan dan harapan kepada para penerima.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Haji Mohd Syahbuddin menegaskan bahawa program bantuan ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam memperkukuh keupayaan ekonomi komuniti Agropolitan, khususnya dalam membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan masing-masing.

YB Dato’ turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong program pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar, sekaligus memastikan masyarakat setempat menikmati peluang yang lebih luas dalam bidang keusahawanan. Program PBPA ini juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan serta penyediaan peluang pekerjaan baharu.

Para penerima bantuan terdiri daripada pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, pertanian, perkhidmatan, jahitan serta penternakan. Barangan yang disalurkan meliputi kelengkapan dan peralatan penting bagi memulakan atau menambah baik operasi perniagaan masing-masing.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu penerima, malah secara keseluruhan menyumbang kepada usaha memperkukuh ekonomi setempat selaras dengan matlamat pembangunan komuniti Agropolitan.