Seramai 40 usahawan dari Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah menerima sijil Program Pemerkasaan Usahawan dan Transformasi Pembungkusan Inovatif bagi Program Peningkatan Kualiti Produk Tahun 2022 & 2023.
Majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Terbuka Taman Etnobotani Gua Musang, pada Ahad ini disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.
Dalam ucapannya, Tuan Haji W Muhd Rahimi berkata, menerusi program ini, usahawan terlibat dipilih berdasarkan komitmen mereka dalam membangunkan produk masing-masing.
Katanya, selain itu penilaian dibuat dengan melihat kesesuaian bahan pembungkusan untuk cetakan, kekuatan penjenamaan produk, potensi pengembangan produk, asas kualiti dan kapasiti pengeluaran premis, sumber pendapatan dan kewangan usahawan serta kesediaan pasaran.
“Kepercayaan telah diberikan kepada pihak SIRIM Berhad sebagai pelaksana program yang menyediakan beberapa perkhidmatan kepada usahawan iaitu sebagai perunding, memberi khidmat nasihat, perkhidmatan teknikal, pemantau sepanjang program dan juga pelapor.
“Usahawan turut dibantu dalam penjenamaan dan kepentingan dalam pembungkusan, pembangunan teknologi reka bentuk pembungkusan produk, pendaftaran jenama dan kepentingan cap dagangan, pemilihan kesesuaian bahan, struktur dan teknik pembungkusan, panduan pelabelan nutrisi dan akuan dalam pemakanan serta keperluan dan pematuhan peraturan dan garis panduan pelabelan serta pembungkusan.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi melahirkan usahawan baharu, memperhebatkan usahawan sedia ada dan memperkasa usahawan yang mempunyai potensi untuk melebarkan perniagaan ke pasaran global,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan ini dapat merealisasikan hala tuju serta sasaran pembangunan usahawan tempatan, selaras dengan matlamat dan misi KESEDAR dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi usahawan.