Sembilan Usahawan Terima Bantuan SPKLB

Seramai sembilan usahawan di kawasan Wilayah Gua Musang, Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Wilayah Kuala Krai dan Wilayah Jeli Tanah Merah menerima bantuan perniagaan menerusi program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

Mereka merupakan penerima Siri Kedua Program SPKLB pada tahun ini dengan nilai bantuan berjumlah RM5,000 setiap peserta.

Program ini diperkenalkan bertujuan untuk menyediakan kemudahan sokongan kepada usahawan luar bandar yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Selain itu, ia bertujuan menyediakan peluang kepada usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan mereka bagi tujuan pemasaran yang lebih luas.

Majlis Penyampaian Barangan Bantuan SPKLB ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, YB Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani. Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.

Pada tahun ini, seramai 30 peserta layak menerima bantuan perniagaan menerusi program SPKLB.

Dalam ucapannya, Mohd Azmawi berharap agar bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan yang layak agar dapat meningkatkan lagi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

Accessibility Toolbar