KESEDAR Berhari Raya: Aidilfitri Di Pasir Dusun

JELI – KESEDAR Wilayah Jeli-Tanah Merah melalui Pejabat Operasi Pasir Dusun telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di perkarangan Pejabat Operasi Pasir Dusun pada 16 Mei 2022 yang mendapat sambutan hampir 300 penduduk.

Tujuan utama majlis hari raya ini diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan mengembalikan semula hubungan sosial antara masyarakat tempatan terutama di kawasan seliaan Pejabat Operasi Pasir Dusun. Majlis hari raya pada tahun ini antara acara yang dinantikan oleh semua selepas 2 tahun tidak dapat diadakan ekoran daripada Pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Majlis yang berlangsung meriah tersebut menyajikan pelbagai menu istimewa kepada para tetamu yang berkunjung dari kawasan sekitar. Kehadiran penduduk sekitar yang tidak lagi terikat dengan SOP yang ketat mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk beramah mesra dengan semua warga KESEDAR Wilayah khususnya mereka yang bertugas di Pejabat Operasi Pasir Dusun.

 Majlis diserikan lagi dengan kehadiran YB. Senator Sr. Hj. Mohd Apandi Mohamad, Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR dan YABrs. Dr. Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR.

Accessibility Toolbar