KESEDAR Salur Sumbangan Kecemerlangan SPM 2021 Kepada 31 Buah Sekolah Di Wilayah Kelantan Selatan
GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM124,300 kepada 31 buah sekolah menengah melibatkan empat daerah di kawasan Wilayah Kelantan Selatan bagi Program Kecemerlangan SPM 2021.
Sumbangan berkenaan telah disalurkan pada petang ini melibatkan daerah Gua Musang RM 48,460, Kuala Krai, RM 40,970, Jeli, RM 28,870 dan Tanah Merah, RM 6,000. Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada pengetua-pengetua sekolah masing-masing sewaktu Program Sumbangan Kecemerlangan SPM 2021 yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang.
Pada tahun 2020, KESEDAR telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 20,000 bagi program Pintar @KPLB melibatkan 15 buah sekolah di kawasan KESEDAR. Setiap sekolah menerima RM 2,000 untuk mengadakan tuisyen bagi mempersiapkan pelajar menghadapi SPM 2019.
Sebagai sebuah agensi yang meneraju kemajuan di Wilayah Kelantan Selatan, aspek pembangunan pendidikan juga turut diberi penekanan bagi memastikan generasi muda yang bakal dilahirkan di Wilayah Kelantan Selatan lebih kompetitif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran dan arus globalisasi.
Selari dengan fungsi KESEDAR yang turut bertanggungjawab dalam memperkasakan modal insan di Wilayah Kelantan Selatan, Program Kecemerlangan SPM 2021 diwujudkan di bawah Program Rehabilitasi Komuniti yang mana KESEDAR akan membantu pihak sekolah dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar-pelajar dari semua aspek terutama kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Encik Mazlan bin Yaacob, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Krai, Encik Abdul Halim bin Ibrahim, Pegawai Pendidikan Daerah Jeli, Encik Muhamad Hisyam bin Ramli, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang (Sektor Pembelajaran), Encik Nazir bin Azmi, Penolong Pegawai Sains Sosial, Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah, Pengurusan Kanan KESEDAR dan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah di Wilayah Kelantan Selatan.