PULAU PINANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menyertai Mesyuarat Hala Tuju Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2022 yang diadakan pada 9 Februari hingga 11 Februari 2022 bertempat di Hotel Bahang Bay, Pulau Pinang.
KESEDAR berazam untuk menggalas cabaran membangunkan Wilayah Kelantan Selatan berteraskan teknologi digital dan berfokuskan sektor perindustrian seperti yang dihasratkan oleh YB. Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid. Bagi memenuhi aspirasi tersebut, KESEDAR mengorak langkah dengan menyelaras, menyesuai dan menyusun atur program-program pembangunan supaya sejajar dengan hasrat kepimpinan tertinggi KPLB. Tumpuan adalah untuk pelaksanaan 18 program merangkumi pembangunan sosioekonomi dan fizikal Wilayah Kelantan Selatan yang berkeluasan 1.234 juta hektar. Ia merangkumi 4 kawasan Parlimen iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan sebahagian Tanah Merah.
Pelaksanaan projek pembangunan KESEDAR pada tahun 2022 terbahagi kepada 4 Teras Utama di dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB); Teras 1– Ekonomi berdaya saing dan mampan dengan 6 projek, Teras 2 – Pemacu pembangunan ekonomi merangkumi 4 projek, Teras 4 adalah prasarana lengkap dan canggih melibatkan 7 projek dan Teras 8 adalah Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus berkaitan dengan 1 projek.
Beberapa isu dan cabaran telah dikenal pasti dalam pelaksanaan projek pembangunan di KESEDAR yang memerlukan perhatian dan tindakan mitigasi berterusan, termasuklah meningkatkan jati diri dan kesedaran moral penduduk dan peningkatan capaian internet di Wilayah Kelantan Selatan bagi merancakkan kegiatan keusahawanan secara atas talian. Selain itu juga, kemampanan program perlu dilaksanakan dengan pemantauan berterusan terutama bagi menangani kesan langsung ketidakstabilan harga dan peningkatan kos.
KESEDAR dalam menentukan hala tuju baharu era “new millennium” memberi perhatian kepada pendigitalisasi dan perindustrian halal. Tindakan telah diambil dalam usaha merealisasikan hasrat berkenaan melalui khidmat runding tenaga pakar dari Pusat Pengajian Tinggi dan Agensi berkaitan.Selain itu juga, KESEDAR akan mengambil inisiatif melaksanakan penjenamaan semula yang menyeluruh melibatkan imej korporat, program keusahawanan berimpak tinggi, fokus baharu perniagaan subsidiari dan mengadakan kolaborasi strategik dengan pemain industri.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YB. Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid. Turut hadir adalah kedua-dua Timbalan Menteri, YBhg. Dato’ Ramlan bin Harun, Ketua Setiausaha Kementerian, kedua-dua Timbalan Ketua Setiausaha KPLB dan Pengurusan Kanan Kementerian serta Agensi.