KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 12 April 2022 bertempat di Hotel The Grand Renai, Kota Bharu.
Majlis APC KESEDAR kali ini merupakan platform utama pihak pengurusan mengiktiraf pencapaian cemerlang pegawai dan kakitangannya dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing. Pegawai dan warga berprestasi juga dinilai berdasarkan penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum agensi seperti sukan, persatuan, kemasyarakatan dan lain-lain sumbang bakti yang berterusan kepada KESEDAR dan masyarakat luar bandar di Wilayah Kelantan Selatan.
Dalam majlis tersebut, seramai 41 orang warga KESEDAR cemerlang telah terpilih menerima APC bagi tahun 2021. YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Mohamad dalam ucapan perasmiannya merakamkan penghargaan kepada semua penerima APC dan berharap agar prestasi tersebut dikekalkan pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya supaya visi dan misi KPLB dapat direalisasikan terutama dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar. Selain itu, YB Timbalan Menteri I KPLB juga berharap penerima APC menjadi teladan kepada rakan sekeja lain untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing. Beliau seterusnya mengajak kepimpinan KESEDAR untuk bersatu hati dan berganding bahu dalam melunaskan tanggungjawab kepada stake holder dan pelanggan organisasi. Penekanan hendaklah diberikan kepada usaha memperkukuhkan elemen dalaman organisasi terutamanya untuk warga KESEDAR berusaha gigih dan bekerja dengan pantas sepertimana kumpulan pekerja ‘ Runners’ dan ‘Joggers’ yang menjadi analogi penulis Ron Clark dalam bukunya berjudul ‘Move Your Bus’.
Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Mohamad dan YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga meluangkan masa beramah mesra bersama pengamal media negeri Kelantan. Lebih 30 orang pengamal media negeri Kelantan hadir ke Majlis Berbuka Puasa KESEDAR Bersama Media Negeri Kelantan merangkumi wartawan, jurufoto serta juruvideo. Majlis yang diadakan bersekali dengan APC KESEDAR itu bertujuan mengeratkan kolaborasi dan kerjasama yang terjalin antara pihak pengurusan KESEDAR dengan media. Malah, secara tidak langsung, majlis ini juga membolehkan maklumat yang benar mengenai dasar kerajaan dapat dikomunikasikan dengan lebih cepat dan tepat kepada massa.
Turut hadir dalam majlis tersebut, YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, YABrs Dr Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR, YBrs Tn Haji W. Muhd Rahimi Wan Salleh, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), YBrs Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dan semua Pegawai Kanan KESEDAR.