Majlis Hari Raya Parlimen Gua Musang : KESEDAR Dan Tengku Razaleigh Berpisah Tiada
Kolaborasi rapat Parlimen Gua Musang dengan KESEDAR telah berjaya menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri gilang-gemilang dengan kehadiran hampir 5,000 orang penduduk sekitar Gua Musang terutama keluarga peneroka membanjiri Dataran KESEDAR Paloh 1 pada 27 Mei 2022.
Ketibaan Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai YBM Ayahanda Ku Li diiringi oleh 85 buah motosikal pengiring oleh belia dan beliawanis sebagai simbolik sokongan golongan anak muda kepada kepimpinan politik Tengku Razaleigh dalam arena politik tanah air. Sambutan meriah masyarakat kepada ahli politik “high profile” ini diteruskan dengan tembakan bunga api ke udara dan acara potong pulut kuning sebagai refleksi doa dan harapan masyarakat Gua Musang kepada kesejahteraan hidup Tengku Razaleigh dan kemakmuran Parlimen Gua Musang.
YBM Tengku Razaleigh dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pengurusan KESEDAR yang gigih memajukan Gua Musang terutama membela nasib lebih 2,000 keluarga peneroka. Beliau mengalu-alukan komitmen tinggi Pengurus Besar KESEDAR untuk terus bergandingan dengan kepimpinan politik Gua Musang bagi memajukan sosioekonomi masyarakat khususnya peneroka KESEDAR yang bergantung kepada pendapatan ladang sawit serta bantuan berfasa daripada KESEDAR.
Majlis turut menyaksikan kehadiran YB Tuan Hj. Amran Ariffin, ADUN Paloh, YB Tuan Hj. Ab. Aziz Yusoff, ADUN Nenggiri, YB Syahbuddin Hashim, ADUN Galas, YBhg. Datuk Nozula Mat Diah, bekas ADUN Paloh, YABrs. Dr. Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi dan En. Mahamad Napi Mat Nasir, Ketua Peneroka Paloh 1.