Majlis Penyerahan Program Sokongan Perniagaan (PSP) di bawah Program Rehabilitasi Komuniti Fasa 2 (Peralatan Bengkel) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP)
Gua Musang, 16 Oktober – Majlis Penyerahan Program Sokongan Peniagaan (PSP) di Bawah Program Rehabilitasi Komuniti Fasa 2 (Peralatan Bengkel) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) telah berlangsung di Dewan Rahmat, Ibu Pejabat KESEDAR. Majlis yang disempurnakan oleh YABrs. Dr. Shahrir bin Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR ini turut dihadiri oleh En Mohd Fadhly bin Ab. Manaf, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat dan En. Mohd Ramadhan bin Sulaiman, Pengurus Pejabat Wilayah Gua Musang.
Program PSP adalah bertujuan untuk membantu peniaga yang terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan samada pembuatan atau perkhidmatan yang telah menjalankan aktiviti perniagaan dalam Kawasan Kelantan Selatan (KESEDAR). Antara objektif program ini adalah untuk meningkatkan pendapatan peniaga daripada pendapatan sedia ada sekurang-kurangnya 30%.
Seramai 119 orang peserta menerima bantuan yang merangkumi penyediaan kursus atau latihan dan bantuan peralatan perniagaan. Peserta yang terpilih akan mengikuti kursus atau latihan berdasarkan modul yang telah ditetapkan dan peserta yang telah mengikuti kursus dan latihan dengan lengkap akan diberi bantuan peralatan perniagaan mengikut sektor masing-masing.