Malam Apresiasi Seni Kebudayaan KESEDAR 2022

GUA MUSANG, 02 Oktober – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) berjaya mencapai sasaran jumlah pengunjung sehingga lebih 5,000 orang pada Malam Apresiasi Seni Kebudayaan yang telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 30 September dan 1 Oktober lepas dengan penuh meriah dan gilang gemilang.

Program yang mengetengahkan keindahan seni kebudayaan Kelantan ini telah diadakan di Taman Etnobotani, Gua Musang dan turut dihadiri oleh pelbagai golongan masyarakat terutamanya di sekitar Wilayah Gua Musang.

Antara persembahan yang menjadi perhatian masyarakat adalah persembahan dikir barat daripada pendikir tersohor seperti Halim Yazid, Fendi Kenali dan Den Manja. Selain itu, persembahan wayang kulit oleh Tok Dalang Saupi , persembahan silat dan pertunjukan gasing terbang turut memberi impak tarikan yang luar biasa pada hari kedua Malam Apresiasi Seni Kebudayaan ini berlangsung.

Majlis telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah. Beliau menarik perhatian para hadirin supaya kegiatan perniagaan diperhebatkan dengan memanfaatkan sumber sedia ada bagi mengharungi kemelesetan ekonomi negara, termasuk di kawasan luar bandar seperti Gua Musang.

YBM Tengku mengucapkan tahniah kepada Pengurus Besar dan pengurusan KESEDAR kerana bijak mengambil inisiatif seperti ini dalam meningkatkan usaha memajukan Wilayah Kelantan Selatan.

“Nyata sekali usaha Dr. Shahrir sebagai Pengurus Besar KESEDAR menerusi program pada malam ini menjadi tarikan kepada pelancong untuk mengunjungi Kelantan khususnya Gua Musang. Kita semua hendaklah mengikut contoh KESEDAR dalam usaha menarik kemasukan pelancong dan pelawat ke wilayah kita ini.”katanya.

Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengurus Besar KESEDAR, Dr. Shahrir Mohammad Zakey. Di dalam ucapannya, beliau turut memberi penekanan kepada kepentingan solidariti masyarakat Gua Musang dan usaha berterusan bagi memperkukuh ekonomi para usahawan muda & pelancongan domestik.

Pada program tersebut juga, disempurnakan gimik penyampaian Bantuan Prihatin Keluarga Malaysia KESEDAR berupa sumbangan makanan & keperluan asas kepada 300 penerima bantuan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah terpilih dalam kalangan masyarakat sekitar Gua Musang.

Turut Hadir memeriahkan majlis, ADUN Nenggiri, YB Ab. Aziz Yusof, ADUN Galas, YB Syahbuddin Hasyim, ADUN Paloh, YB Amran Ariffin, serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.

Accessibility Toolbar