Pengukuhan Profesionalisme: Kursus Protokol Dan Etiket Sosial

KESEDAR telah menganjurkan Kursus Protokol, Etiket Sosial Dan Pengurusan Majlis pada 9 hingga 10 Mei 2022 di Dewan Merak, KESEDAR Hotel, Gua Musang.

Kursus berkenaan diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai etika dalam menguruskan majlis dan acara melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Kursus ini telah dihadiri seramai 40 orang warga KESEDAR yang terdiri daripada pelbagai gred dan skim perkhidmatan.

Para peserta mendapat ilmu baharu dalam beberapa aspek penting menguruskan acara melibatkan penyediaan atur cara yang bersesuaian, penulisan teks pengacara majlis, latihan sebagai penyambut tetamu, peranan pengiring dan susun atur majlis. Kesemua elemen ini dititik beratkan pengurusan KESEDAR dan menjadi sebahagian daripada usaha peningkatan imej organisasi.

Program ini selari dengan hasrat pihak pengurusan KESEDAR dalam memperkukuh perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat Wilayah Kelantan Selatan melalui penganjuran pelbagai kursus termasuk kursus pengurusan projek, pemantauan program, pengurusan kewangan dan kursus penilaian kebolehlaksanaan projek.

Pengurus besar dalam ucapan perasmiannya menarik perhatian peserta untuk memberi fokus kepada pengetahuan dan ilmu yang akan dikutip sepanjang kursus tersebut. Kombinasi pelbagai kursus yang dihadiri secara berterusan hendaklah dimanfaat sepenuhnya dalam usaha memperlengkapkan diri bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Proses relearn dan unlearn dalam setiap cabang ilmu serta kemahiran harus berlaku dalam perkhidmatan setiap warga KESEDAR seiring dengan keperluan dan kehendak semasa.

Kursus tersebut dirasmikan oleh YABrs. Dr. Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR.Turut hadir Puan Rushwahanis Ramli, Pengurus Bahagian Pentadbiran Dan Pengurusan Manusia.

Accessibility Toolbar