Program Pengukuhan Modal Insan Bagi Masyarakat Kelantan Selatan : Ceramah Agama Israk Dan Mikraj
Gua Musang – KESEDAR dengan kerjasama Masjid Sultan Ahmad, RKT Paloh 2, Gua Musang telah mengadakan Majlis Ceramah Agama Israk dan Mikraj di masjid berkenaan pada 28 Februari 2022 bersempena dengan peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku setahun sebelum hijrah Rasulullah ke Madinah.
Program memperingati peristiwa penting dalam sejarah Islam dan ibadah ini dilaksanakan bagi menyemak dan mengambil pelajaran daripadanya dalam menginsafi tanggungjawab sebagai hamba Allah yang beriman dan taat kepada perintah-Nya terutama menunaikan ibadat solat. Selain daripada itu ia dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk saling mengenal, mewujudkan permuafakatan dan mengeratkan perpaduan. Ini diterjemahkan melalui aktiviti memasak secara gotong-royong yang telah dilaksanakan hasil kerjasama kakitangan KESEDAR, Jawatankuasa Masjid dan masyarakat setempat. Kemeriahan jelas tergambar apabila penduduk dapat mempraktikkan kembali budaya ‘gotong-royong’ ini setelah sekian lama ditinggalkan akibat daripada Pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Majlis tersebut turut disajikan dengan ceramah agama mengenai Israk dan Mikraj yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Nur Eidilfithri @ Mohd Nur Rulaidi bin Che Omar. Hampir 200 orang tetamu hadir dengan mengikut Garis Panduan & Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. YBrs. Dr. Shahrir bin Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR juga telah menyampaikan kit bantuan makanan kepada beberapa keluarga asnaf dalam majlis tersebut melalui peruntukan Program Rehabilitasi KESEDAR. Sumbangan kit ini mengandungi beberapa makanan asas dan keperluan diri.
Turut hadir dalam majlis tersebut, En. Mohd Fadhly bin Ab Manaf, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat KESEDAR, En. Mahamad Napi bin Mat Nasir, Ketua Peneroka RKT Paloh 1, En Rashid bin Ismail, Ketua Peneroka RKT Paloh 2 dan pemimpin masyarakat.