Kuala Krai – Pada 16 Mac 2022, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada para pelajar di Wilayah Kuala Krai yang telah diadakan di Dewan Pejabat KESEDAR Kuala Krai.
10 buah sekolah di Jajahan Kuala Krai telah terpilih untuk menerima sumbangan berjumlah RM20,000.00 secara keseluruhannya sempena program ini yang melibatkan 200 pelajar sekolah menengah dan rendah.
Para pelajar yang ditentukan Pejabat Pendidikan Daerah melalui maklumat pihak pengurusan sekolah menerima sumbangan bernilai RM100.00 untuk membeli barangan keperluan persekolahan terutamanya alat tulis dan buku sekolah.
Usaha KESEDAR ini bertujuan memberi semangat dan motivasi kepada para pelajar untuk memulakan sesi baharu persekolahan dan sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapa mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.
Dalam majlis tersebut Pengurus Besar KESEDAR menzahirkan hasrat beliau agar hubungan antara masyarakat dengan KESEDAR dipertingkatkan supaya keperluan dan kesusahan yang dihadapi golongan sasar dapat dikenalpasti dan diselesaikan dengan pantas.
Majlis yang disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, YABrs. Dr. Shahir bin Mohammad Zakey turut dihadiri En. Fadhly bin Ab. Manaf, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat dan En. Mazlan bin Yaacob , Pegawai Pendidikan Daerah, Kuala Krai.