Gua Musang, 30 November 2022 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di bawah Unit Integriti telah melaksanakan satu program iaitu Sambutan Hari Integriti KESEDAR Tahun 2022 bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang, Kelantan.
Program yang julung-julung kalinya diadakan merupakan inisiatif KESEDAR bagi mempertingkatkan lagi tahap integriti dalam kalangan warga kerja KESEDAR. Disamping itu, Talian aduan integriti juga turut dilancarkan bertepatan dengan Pelan Antirasuah KESEDAR 2022-2024 di bawah Strategi 3 iaitu Menambah Baik Pelaksanaan Tadbir Urus dan Sistem Pengampaian Maklumat.
Selari dengan tema yang dipilih iaitu Integriti Budaya Keluarga KESEDAR berdasarkan komitmen KESEDAR sebagai agensi peneraju masyarakat luar bandar dalam usaha pemerkasaan dan pembudayaan integriti serta tadbir urus yang baik. Ia turut mencakupi amalan menyemai budaya integriti, budaya amanah, prinsip keadilan dan amalan bermusyawarah dalam membina akhlak mulia seluruh warga KESEDAR.
Pengurus Besar KESEDAR, YABrs Dr. Shahrir bin Mohammad Zakey berkata, budaya integriti perlu dipupuk di kalangan warga KESEDAR yang merangkumi semua aspek kehidupan agar dapat memberi kesan kepada individu, komuniti, organisasi dan negara. Beliau juga turut berkesempatan berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan integriti dalam sesi perkongsiannya.
Selain itu, program diteruskan lagi dengan slot Integrity Hour@KESEDAR. Antara pengisian slot tersebut adalah Bicara Integriti oleh Pengurus Bahagian, Pengurus Wilayah dan Ketua Unit serta tayangan video bermesejkan integriti di pejabat masing-masing.
Majlis telah disempurnakan oleh YABrs Dr. Shahrir bin Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR juga turut dihadiri oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), YBrs. Tuan Haji W. Muhd Rahimi bin Wan Salleh dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), YBrs. Puan Hajjah Norlidasaidi binti Awang Teh serta warga kerja KESEDAR.