200 Peserta Kayuhan Selusuri Ladang Sawit Di Let’s Gateh @ Paloh

Seramai 200 peminat sukan berbasikal lasak menyelusuri laluan ladang sawit sepanjang 22 kilometer, menerusi Program Let’s Gateh @ Paloh, hari ini.

Program berkonsepkan ‘Fun Ride Offroad’ yang dianjurkan Bahagian Pembangunan Pertanian, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) ini adalah kesinambungan daripada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) yang disambut setiap tahun pada bulan Oktober.

Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman turut menyempurnakan acara pelepasan peserta kayuhan dan menyantuni penduduk setempat dalam acara sukaneka serta menyampaikan medal kepada peserta yang tiba di garisan penamat.

Selain acara kayuhan, program ini juga dimeriahkan dengan lebih 13 acara sukan rakyat dan sukaneka serta 17 gerai usahawan KESEDAR dan 10 gerai pameran agensi.

Selain pemeriksaan kesihatan, program derma darah serta Jualan Rahmah juga turut dilaksanakan selama dua hari berturut-turut.

Program yang dirasmikan Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh, itu turut dihadiri Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

Bertemakan #FitMalaysia pada tahun ini, Hari Sukan Negara adalah penting bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersukan bagi mewujudkan masyarakat yang cergas dan aktif melalui amalan gaya hidup sihat.

Semoga penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan sillaturahim antara semua warga kerja KESEDAR dan masyarakat setempat.

Accessibility Toolbar