Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya 2023 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah membuka tirainya bermula semalam dan berlangsung selama lima hari hingga Ahad ini.
Pelbagai agensi di bawah KKDW termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) tidak melepaskan peluang dalam menyertai karnival ini apabila hampir 1,000 pempamer dalam kalangan usahawan tampil dengan tarikan dan keunikan produk kawasan desa masing-masing.
Pada kali ini, KESEDAR membawa 37 usahawan di kawasan Kelantan Selatan ke Anjung Floria Putrajaya bagi mempromosikan produk mereka sekaligus menjana pendapatan di karnival berkenaan.
Mereka terdiri daripada usahawan produk makanan dan minuman, spa dan kecantikan serta makanan kesihatan.
Sebagai negeri yang kaya dengan pelbagai jenis makanan menarik, KESEDAR juga turut membawa usahawan masakan panas bagi menyajikan pelbagai jenis makanan tersohor di Kelantan antaranya Nasi Kerabu Tempurung dari Wilayah Kuala Krai (WKK), Laksa Kelantan, Laksam, Mi Celup Kelantan, Nasi Dagang, Kerutuk Itik dan Ikan ‘Bekok’ dari Wilayah Gua Musang (WGM) kepada pengunjung.
Tidak ketinggalan juga, Rural Tourism KESEDAR turut mengetengahkan seni budaya negeri Che Siti Wan Kembang sebagai tarikan pelancongan luar bandar dengan persembahan dikir barat, pameran dan demonstrasi wau bulan dan persembahan gasing terbang dari Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kelantan.
Dalam pada itu, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh dan Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan yang kini menanggung kerja Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf, turut meluangkan masa mengunjungi pelbagai gerai jualan yang dipamerkan pada hari ini.