Lebih 5,000 Masyarakat Setempat Meriahkan Hari Sukan Negara 2023
Kira-kira lebih 5,000 komuniti setempat hadir memeriahkan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Kelantan 2023 yang diadakan di Taman Etnobotani, Gua Musang.
HSN yang dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti berbasikal Fun Ride 20KM dan Fun Run 5KM serta acara sukaneka.
Majlis sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut merasmikan sambutan berkenaan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman dan Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sambutan HSN 2023 diharap dapat meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan industri sukan yang dirancakkan semula dengan menggalakkan rakyat Malaysia terus bersukan melalui pembelian dan penjualan barangan sukan.
Beliau turut berharap agar semangat dan mesej penting dalam sambutan HSN 2023 sentiasa dihayati dan diterjemahkan dalam setiap usaha kita selaras dengan hashtag #HSN2023 dan #FitMalaysia.
Sambutan HSN telah dijadikan salah satu agenda nasional selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai status negara bersukan atau “sporting nation” menjelang tahun 2030.
Penganjuran HSN 2023 telah memasuki edisi yang kesembilan sejak diperkenalkan dan sepanjang tempoh pelaksanaan, HSN telah menggerakkan seramai 31 juta penyertaan daripada rakyat Malaysia melibatkan secara kumulatif lebih 71,000 program dan aktiviti yang disediakan di seluruh negara.