Pembuat Batu Nisan, Antara Penerima Bantuan KESEDAR
Hanya berbekalkan mesin pencanai, pembuat batu nisan dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh 2, Gua Musang, meneruskan perusahaan arwah abangnya sejak lima tahun lalu.
Kekangan itu menyebabkan bapa tunggal, Hashim Ibrahim, 50, hanya mampu menyiapkan tiga hingga empat set batu nisan sahaja dalam masa sebulan.
Menyedari kekangan itu, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menyalurkan bantuan peralatan pertukangan sebagai usaha meningkatkan pendapatan bapa tunggal ini.
“Saya berterima kasih kepada KESEDAR kerana telah membantu saya dalam perusahaan ini. Sebelum ini, saya hanya ada mesin canai sahaja. Jadi, penghasilan agak terhad kerana kekangan peralatan.
“Namun kini, saya tidak ada masalah lagi dalam pertukangan kerana peralatan yang diberikan cukup untuk saya menerima tempahan yang lebih banyak,” katanya yang turut menerima tempahan dari Terengganu.
Hashim merupakan salah seorang daripada 27 peserta yang menerima bantuan menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Barangan Kepada Peserta Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR), di Dewan Rahmat, Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang.
Majlis ini disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh. Turut hadir, Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan yang kini menanggung kerja Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf dan Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Puan Yunaiha Ismail.
Dalam pada itu, Tuan Haji W Muhd Rahimi turut menasihati peserta agar memanfaatkan bantuan itu sebaik-baiknya untuk menjana pendapatan.