Program Hala Tuju Pendidikan Di Bawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR
Seramai 250 pelajar dari empat buah sekolah di kawasan Wilayah Gua Musang telah menyertai Program Hala Tuju Pendidikan di bawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, hari ini.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Sains Gua Musang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku, SMK Tengku Indera Petra 1, dan SMK Sri Wangi.
Program yang diuruskan KESEDAR Wilayah Gua Musang ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai biasiswa dan pinjaman pelajaran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan juga panduan kemasukan ke institut pengajian tinggi.
Sebagai pengisian program, KESEDAR telah mengundang penceramah dari Pejabat Mara Gua Musang dan pensyarah daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) Kampus Machang.
Majlis ini dirasmikan oleh Pengerusi KESEDAR, Datuk Haji Zawawi Haji Othman.
Turut hadir, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh, Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan yang kini menanggung kerja Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, Encik Zainy Yusoff.
Program ini adalah usaha Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dalam memberi anjakan paradigma bagi kumpulan sasar luar bandar agar mampu berdikari pada masa hadapan.