Program Hala Tuju Pendidikan : Seminar ‘Take Action’ Pemantapan Matlamat Dan Jati Diri

Seramai 500 orang pelajar dari tiga buah sekolah menengah sekitar daerah Gua Musang menyertai Seminar ‘Take Action’ Pemantapan Matlamat dan Jati Diri, anjuran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang berlangsung pada 24 September 2023.

Program dibawah skop Pintar@KESEDAR yang diadakan di Dewan Dato Ariffin Said ini melibatkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2 dan SMK Sri Wangi.

Program kolaborasi antara KESEDAR dengan pihak sekolah ini tertumpu kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya pelajar tingkatan 4 dan 5.

Selain memastikan pelajar-pelajar mendapatkan maklumat berharga dan inspirasi secara terus daripada pakar motivasi, program ini juga dapat mencipta peluang berdasarkan perkongsian pengalaman, kisah serta cabaran daripada insan-insan yang telah berjaya.

Seminar ini merangkumi beberapa matlamat antaranya mengenali isu-isu yang sedang dihadapi golongan belia atau pelajar dalam pembangunan kemahiran, persediaan masa hadapan serta membentuk strategi kepimpinan yang efektif untuk perkembangan pelajaran dan peribadi.

Selain itu, pelajar mendapat pendedahan tentang pembangunan kemahiran kritikal, memberi inspirasi, semangat dan pedoman kepada pelajar bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan dan memanfaatkan pelbagai peluang yang ada.

Seminar ini disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi binti Awang Teh.

Turut hadir, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Puan Yunaiha binti Ismail dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Unit Pendidikan Khas), Encik Mohd Zainy bin Yusoff.

Accessibility Toolbar