Bencana banjir yang melanda Kelantan pada hujung tahun lalu turut melibatkan beberapa kawasan di Hulu Kelantan termasuk Parlimen Jeli.
Seramai 328 mangsa banjir di kawasan Jeli merangkumi tiga dun iaitu Dun Bukit Bunga, Ayer Lanas dan Kuala Balah, turut terjejas ekoran bencana berkenaan.
Tampil meringankan beban, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mengagihkan sumbangan menerusi Majlis Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan kepada Mangsa Banjir di Dewan Komuniti, Pejabat KESEDAR Wilayah Jeli / Tanah Merah.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh. Turut hadir, Mantan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, YBhg. Dato’ Mohd Adhan Kechik.
Dalam ucapannya, Tuan Haji W Muhd Rahimi berkata, sumbangan bakul makanan ini adalah salah satu inisiatif KESEDAR dalam membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan Kelantan Selatan.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa kerajaan terutamanya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa prihatin dalam membantu rakyat yang terkesan.