Seramai 50 peserta Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET@KESEDAR) mengikuti Kursus Welding dan Kursus Air Conditioning & Mechanical Ventilation yang bermula pada hari ini.
Kursus yang berlangsung selama tiga bulan ini adalah usaha kerajaan melalui KESEDAR dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi di kawasan Kelantan Selatan.
TVET@KESEDAR diwujudkan di bawah Program Rehabilitasi Komuniti yang mana merupakan proses pendidikan dan latihan yang menyediakan peluang pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dan melahirkan modal insan yang berkemahiran serta berdaya saing.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, bagi tempoh tiga tahun pelaksanaan, program ini telah memberi manfaat kepada 163 belia di kawasan Kelantan Selatan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM815,000.
Katanya, antara kursus yang telah dilaksanakan adalah Kursus Plumbing (Building & Sanitary Fitting), Gas Pipe Fitting, Plumbing, Scaffolding, Installation Fiber Optic, Welding dan Aircond.
“KESEDAR turut menyediakan beberapa kemudahan kepada peserta seperti elaun bulanan sebanyak RM150, yuran, penginapan dan makan minum ditanggung sepenuhnya, pusat latihan serba lengkap serta tenaga pengajar yang berpengalaman serta jaminan peluang kerjaya selepas tamat kursus.
“Selain peruntukan di bawah Program Pembangunan Semasa, KESEDAR juga turut menyediakan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) kepada kumpulan B40 di luar bandar seperti kursus-kursus jangka pendek tidak melebihi tempoh 6 bulan sekaligu mempunyai jaminan kerjaya selepas tamat tempoh kursus.
“Bagi tempoh tiga tahun ini juga, peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah disalurkan kepada KESEDAR berjumlah RM1.125 juta melibatkan penerima manfaat sebanyak 255 peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Lapor Diri Peserta TVET@KESEDAR ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) Utara, yang berlangsung di Dewan Dato Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, hari ini.
TVET merupakan usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran, menyokong pembangunan ekonomi, memenuhi keperluan industri, meningkatkan kualiti hidup, memperkasa golongan belia dan menyokong inovasi serta keusahawanan.