Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, Gua Musang telah menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-40 pada tahun 2024.
Mesyuarat yang diadakan di Dewan Rajawali SK Lebir itu dirasmikan oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh. Turut hadir, Guru Besar SK Lebir, Ybrs Encik Ahmed Hafiz Che Abdullah.
Dalam ucapannya, Tuan Haji W Muhd Rahimi turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa memberi perhatian serta mengamalkan sikap ‘Didikan Bermula Dari Rumah’ agar anak-anak berada dalam keadaan yang terkawal.
Nasihat ini adalah rentetan dari kisah-kisah serta isu yang sering dipaparkan di dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini mengenai didikan dan moral di kalangan remaja dan golongan muda.
“Melihat kepada pelbagai isu dan kes-kes melibatkan remaja pada hari ini, kita berharap agar ibu bapa dapat memainkan peranan dalam mendidik anak-anak di awal usia.
“Awasi pergerakan anak-anak, tahu dengan siapa mereka berkawan dan bergaul serta wujudkan kemesraan yang lebih erat agar anak-anak tidak rasa terasing sehingga terjerumus dalam kancah sosial, jenayah dan maksiat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tuan Haji W Muhd Rahimi turut meluluskan peruntukan berjumlah RM1,500 untuk program-program kecemerlangan sekolah.