“Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul”

Warga Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) diingatkan supaya sentiasa melakukan sesuatu perkara yang betul supaya ianya menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Pengurus Besar, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, kadang kala kita terbiasa melakukan sesuatu perkara dengan sedar atau tanpa sedar biarpun ianya satu perkara yang tidak boleh diteruskan.

“Bekerja bukan sekadar mengerah keringat dan tenaga namun ia turut melibatkan jiwa dan mental kita yang perlu dicanai seiring.

“Kita tetapkan niat bekerja untuk bantu orang dan ia perlu disertai dengan usaha agar peranan kita di dalam jabatan itu dirasai golongan sasar serta masyarakat setempat.

“Malah, kita juga perlu lebih proaktif yang mana sikap tegas harus dipraktikkan serta melakukan pelbagai cara untuk mencapai matlamat agensi dan jabatan. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menerusi Majlis Perhimpunan Bulanan KESEDAR Bil. 3/2024 di Dewan Dato Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, hari ini.

Majlis yang dihadiri seluruh warga KESEDAR ini dirasmikan oleh Pengerusi KESEDAR, Datuk Haji Zawawi Othman.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.

Dalam pada itu, empat kakitangan dari pelbagai gred turut menerima Hadiah Pekerja Cemerlang Suku Tahun Kedua.

Accessibility Toolbar