Warga Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) diingatkan agar sentiasa berdisiplin dan komited dalam melaksanakan pelbagai tugasan yang diamanahkan.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, nilai-nilai itu penting bagi penjawat awam yang berada dalam kerajaan sebagai satu jentera yang dipertanggungjawabkan mentadbir negara dengan baik dan telus.
Katanya, kepatuhan disiplin itu bukan hanya ketika bekerja malah perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian agar imej penjawat awam itu terus terpelihara.
“Sebarang ketidakcekapan dan kurangnya disiplin penjawat awam boleh menjejaskan perkhidmatan kepada masyarakat sekali gus mencalarkan imej jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ahla Wasahlan Ya Ramadan dan Perhimpunan Bulanan KESEDAR Bilangan 2 Tahun 2024, di Dewan Dato Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.
Dalam pada itu, Yang Dipertua (YDP) Kelab Keluarga KESEDAR (3K), Encik Hasri Rifdi Mamat@Hamzah, turut membuat penyerahan sumbangan Ramadan kepada semua warga KESEDAR.