“Jaga Imej Dan Reputasi KESEDAR”

Seramai 22 kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dari pelbagai skim dan gred perkhidmatan menyertai Program Transformasi Minda (PTM) Tahun 2024.

Program yang diadakan di Akademi Latihan Kenegaraan, Meru, Klang selama lima hari bermula 28 Januari hingga 1 Februari 2024 itu adalah untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda kepada pegawai di peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan awam.

PTM juga merupakan satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan.

Program ini dibentuk bagi membolehkan pegawai memahami prinsip dan falsafah pembentukan negara, jentera pentadbiran kerajaan dan peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam serta pembentukan jati diri bagi menghadapi cabaran dan ekspektasi pelanggan.

Program ini dirasmikan oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh. Turut hadir, Pegawai Akademi Kenegaraan, Jabatan Perdana Menteri, Encik Mohd Fauzi Shafii dan Pengurus Bahagian Pentadbiran Dan Pengurusan Sumber Manusia, Encik Mohd Husnifaisal Ramli.

Dalam ucapan perasmian, Tuan Haji W Muhd Rahimi turut menekankan bahawa setiap tindakan yang dilakukan oleh kakitangan akan memberi impak kepada organisasi.

Oleh yang demikian, warga KESEDAR perlu sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan atau membuat tindakan kerana ia akan memberikan kesan kepada imej serta reputasi KESEDAR.

Selain itu, beliau turut berharap warga KESEDAR dapat mengetahui, memahami dan menghayati visi, misi serta objektif KESEDAR.

Katanya, matlamat objektif tersebutlah yang menjadi elemen terkukuh dalam menyatukan hati setiap warga KESEDAR untuk terus bersatu hati dan merealisasikan visi dan misi KESEDAR.

Accessibility Toolbar