KESEDAR Agih RM60,000 Bantuan Untuk Pelajar Kurang Berkemampuan

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperuntukkan RM60,000 bagi menjayakan Program Pintar@KESEDAR menerusi Bantuan Persekolahan di bawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR Tahun 2024.

Program ini diperkenalkan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan anak-anak yang akan memulakan sesi baharu persekolahan tidak lama lagi.

Di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, seramai 150 murid di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, SK Meranto dan SK Paloh 1&2, telah dipilih untuk menerima bantuan ini.

Majlis penyerahan Baucar Bantuan KESEDAR di SK Lebir telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Turut hadir, Guru Besar SK Lebir, Encik Ahmed Hafiz Che Abdullah dan Pengurus Bahagian Pembangunan Pertanian KESEDAR, Encik Wan Mohd Afzainizam Wan Abdul Latif.

Dalam ucapannya, Tuan Haji W Muhd Rahimi turut menekankan betapa pentingnya pendidikan yang merupakan batu loncatan untuk generasi baharu keluar dari kepompong kemiskinan.

Tambah beliau, kemiskinan juga bukanlah satu halangan untuk kita menjadi insan yang berguna dan memberi manfaat kepada orang lain.

Selain di kawasan RKT, bantuan persekolahan berbentuk baucar ini turut diperluaskan di kawasan Wilayah Gua Musang, Wilayah Kuala Krai dan Wilayah Jeli/Tanah Merah.

Accessibility Toolbar