Kursus Kad Hijau CIDB Dan Asas Binaan, Bangunkan Ilmu Kakitangan KESEDAR Dalam Bidang Pembinaan PPRT
Seramai 40 kakitangan KESEDAR menyertai Kursus Kad Hijau CIDB dan Kursus Asas Binaan (Konvensional dan IBS) Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilyah Utara, Sintok Kedah.
Kursus yang dijalankan selama lima hari bermula 21 April hingga 25 April 2024 itu bertujuan memberi ilmu pembinaan PPRT terutamanya kerja-kerja teknikal ditapak kepada kakitangan yang terlibat.
Ini kerana, hampir 90 peratus kakitangan yang terlibat hari ini bukanlah dari bidang teknikal khususnya kejuruteraan binaan dan bidang berkaitan.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, selain pendedahan ilmu berkenaan teknikal, peserta juga telah menerima latihan yang betul dan mempunyai pemahaman asas tentang peraturan keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan.
“Ia adalah keperluan penting untuk memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat dalam industri pembinaan.
“Diharapkan agar peserta dapat mengaplikasikan ilmu-ilmu yang diperolehi sepanjang kursus ini dalam menyelaras dan melaksanakan proses kerja PPRT 2024 nanti.
“Saya jangkakan program 2024 ini akan lebih terurus dan dengan pengetahuan yang diperolehi, segala masalah di tapak dapat dikurangkan semaksima mungkin,” katanya lagi.
Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) telah diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ia merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar dalam menyediakan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa dan seterusnya memastikan kumpulan sasar ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.