MAHA 2024, Seakan Melancong Dalam Negara Sendiri

Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, kembali selepas dua tahun sekali gus memasuki edisi ke-100 iaitu satu abad penganjuran.

Mula diperkenalkan pada tahun 1923, MAHA 2024 mendapat sambutan luar biasa seakan melancong di dalam negara kerana bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertanian, malah dalam bidang penternakan serta industri perikanan dan akuakultur.

Mula membuka tirai pada 11 September lalu, sehingga kini, lebih setengah juta pengunjung telah direkodkan.

Pameran pertanian tertua di Asia Tenggara ini berlangsung selama 12 hari iaitu sehingga 22 September 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor.

Bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, MAHA 2024 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman dan Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan MAHA 2024, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) turut membawa 12 usahawan untuk mengisi gerai jualan serta memperkenalkan produk-produk usahawan.

Accessibility Toolbar