PPD Sungai Asap Dijangka Siap 2028

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) melaksanakan dua Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) kepada penduduk di Wilayah Kelantan Selatan khususnya di Gua Musang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek yang menelan peruntukan lebih RM20 juta setiap satu itu berkonsepkan pembangunan penempatan secara bersepadu iaitu pembangunan perumahan desa secara tersusun yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

Katanya, Projek Pusat Pertumbuhan Desa KESEDAR di Kawasan Paloh Gua Musang yang menelan belanja RM20.5 juta dijangka siap sepenuhnya pada 2028 sekali gus bakal memberi impak yang tinggi kepada masyarakat di kawasan ini.

Projek kedua yang telah diluluskan adalah Projek Pusat Pertumbuhan Desa KESEDAR Sungai Asap yang akan menelan kos sebanyak RM20.7 juta dan kini dalam peringkat penyediaan reka bentuk tapak.

Tambah beliau, projek ini adalah salah satu usaha kerajaan dalam menangani masalah penduduk di luar bandar khususnya kelompok generasi kedua dan ketiga peneroka yang tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Sungai Asap, di Dataran Kejat RKT KESEDAR Sungai Asap, Gua Musang, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Hajah Rubiah Wang, Pengerusi KESEDAR, Datuk Haji Zawawi Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, YB Mohd Syahbuddin Hashim dan Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Pembangunan projek PPD itu dilengkapi 132 lot rumah, lot kedai dan tapak pasar, kemudahan masjid, tangki air, dewan serbaguna, bekalan air, elektrik, talian internet, padang serta jalan masuk yang memberi manfaat kepada 132 keluarga iaitu 650 penduduk peneroka generasi kedua dan ketiga.

Selain PPD, projek pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh KESEDAR ialah Program Pemajuan Kawasan (PPK) di Paloh 2, Gua Musang yang menelan kos pelaksanaan sebanyak RM25 Juta.

Dalam pada itu, beliau turut menyempurnakan Penyerahan Sijil Perakuan Lot Rumah Taman Agropolitan dan Penyerahan Pengurusan Lot Ladang bagi peneroka RKT Sungai Asap dan Jeram Tekoh.

Accessibility Toolbar