Usahawan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dilihat berpotensi untuk menembusi pasaran ekonomi rantau asia terutamanya di Indonesia.
Republik Indonesia bakal menjadi antara lima ekonomi terbesar menjelang tahun 2050 yang mana ia menjadi salah satu negara pemain ekonomi penting dan terbesar di wilayah Asia Tenggara.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, produk Malaysia di Indonesia telah mendapat permintaan bagi memenuhi keperluan kehendak dan penggunaan bagi penduduk di Indonesia.
Katanya, produk keluaran Malaysia dilihat sebagai produk yang berkualiti tinggi, disokong oleh piawaian kualiti dan faktor halal dari Malaysia telah diiktiraf di Indonesia.
“Menerusi amanat yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, usahawan Malaysia perlu keluar daripada kepompong pasaran domestik dengan menyasarkan pasaran lebih besar di luar negara dan tidak menghasilkan produk hanya untuk penggunaan tempatan sahaja.
“Indonesia mempunyai jumlah penduduk yang sangat tinggi dan golongan muda yang berkerjaya di sana. Ia mampu memberikan manfaat ekonomi bagi kedua-dua buah negara iaitu Malaysia – Indonesia serta memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan secara bilateral,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program Village To Global (V2G) yang diadakan di Kesedar Hotel Travel and Tours Sdn Bhd.
Program berkenaan disertai oleh 43 usahawan dari setiap Wilayah KESEDAR dan berlangsung selama tiga hari dua malam bermula Sabtu lalu.
Tambah Tuan Haji W Muhd Rahimi, Program ini sangat bermanfaat dalam memberikan ilmu pendedahan dan kemahiran kepada usahawan KESEDAR yang berminat untuk mengembangkan perniagaan di pasaran luar negara khususnya Indonesia.
“Ia bertepatan dengan hasrat kerajaan agar Malaysia perlu berada di barisan paling hadapan dalam mempromosi usahawan tempatan agar mereka mampu menembusi pasaran industri halal global yang dijangka mencecah US$5 trilion menjelang 2030.
“Saya yakin usahawan ini berpotensi untuk berkembang lebih besar dan menembusi pasaran luar andai diberi dorongan dan kemudahan sewajarnya,” tambahnya lagi.