Sesi Dialog Belanjawan 2025, KKDW Cakna Pandangan Pemegang Taruh
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2025 yang mengumpulkan lebih 1,000 wakil daripada pelbagai pihak berkepentingan dan pemain industri dari seluruh negara.
Sesi dialog yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu diadakan di Dewan Seri Lestari, KKDW, pada Jumaat lalu.
Ia merangkumi penglibatan wakil persatuan perniagaan, dewan koperasi, usahawan, badan bukan kerajaan, ahli akademik, pelajar, wakil komuniti, anak syarikat serta agensi-agensi kerajaan dan ketua-ketua jabatan di bawah KKDW.
Bukan sahaja dijalankan secara fizikal, ia juga turut diaplikasikan secara atas talian bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk turut sama berada seiring dengan perkembangan teknologi dalam melibatkan semua pihak dengan lebih mudah dan efisien.
Dalam ucapannya, beliau memberitahu sentiasa ingin mendengar pandangan dan cadangan daripada pemegang taruh yang berkaitan sebelum belanjawan negara dibentangkan sekali gus membantu pasukan Belanjawan Kementerian Kewangan memantapkan lagi penyediaan Ucapan Belanjawan 2025, agar lebih inklusif.
Sebagai agensi di bawah KKDW, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) juga tidak ketinggalan dalam mengikuti sesi dialog secara atas talian bertempat di Ruang Legar Bilik Mesyuarat Operasi, Ibu Pejabat KESEDAR.
Bukan sahaja kakitangan, malah sesi dialog ini juga turut melibatkan pihak-pihak berkepentingan di kawasan KESEDAR.