PERLEMBAGAAN MBJ KESEDAR

  1. Majlis Bersama Jabatan (MBJ) bagi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan  (KESEDAR), (selepas ini disebut sebagai ‘Majlis’) hendaklah mengandungi empat belas (14) orang ahli termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha-Setiausaha yang terdiri daripada lima (5) orang ahli yang dilantik oleh Pengurus Besar (selepas ini disebut sebagai ‘Pihak Pegawai’) dan sembilan (9) orang ahli yang dipilih oleh pekerja–pekerja yang berkhidmat di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) (selepas ini disebut sebagai ‘Pihak Pekerja’).
  2. Ahli-ahli bagi Pihak Pegawai hendaklah terdiri daripada pegawai-pegawai yang berkhidmat di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) seperti berikut:
    Pegawai Keahlian
    1. Pengurus Besar-Pengerusi
    2. Timbalan Pengurus Besar-Ahli
    3. Pengurus Bahagian Korporat Dan Sumber Manusia-Ahli
    4. Pengurus Kewangan-Ahli
    5. Penolong Pengurus Bahagian Korporat Dan Sumber Manusia (Perjawatan)-Setiausaha

    Mereka ini akan dilantik atas nama jawatan masing-masing.
  1. Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja-pekerja Gred 48 dan ke bawah, bukan Ketua Bahagian di KKLW dan dipilih oleh pekerja-pekerja yang berkhidmat di KKLW. Pemilihan Pengerusi, Setiausaha dan Ahli-ahli MBJ Pihak Pekerja dibuat di kalangan ahli-ahli pekerja dan pemilihan itu hendaklah dibuat oleh pihak pekerja sendiri tanpa campur tangan dari pihak Pengurusan. Pengerusi Pihak Pekerja akan menjadi Naib Pengerusi kepada MBJ manakala Setiausaha Pihak Pekerja akan menjadi Setiausaha Bersama.
  2. Kekosongan yang berlaku di dalam keanggotaan Pihak Pekerja hendaklah dipenuhi oleh calon-calon daripada Kesatuan/Persatuan yang melantik wakil yang mengosongkan jawatan itu atau pekerja-pekerja itu sendiri.
  3. Ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua (2) tahun mulai daripada tarikh pelantikan mereka dan mereka boleh terus memegang jawatan tersebut sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dilantik/dipilih.
  1. Pegawai-pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi hendaklah terdiri daripada dan dipilih oleh Pihak Pekerja. Tiap-tiap pihak dalam Majlis hendaklah melantik seorang daripadanya untuk memenuhi jawatan Setiausaha Bersama.
  2.  

Tujuan Majlis adalah:-

    1. untuk memperolehi seluas-luas kerjasama di antara Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dengan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji di dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja yang berkenaan;
    2. Untuk mengadakan jentera bagi menguruskan soal-soal mengenai syarat-syarat bekerja; dan
    3. Untuk mengumpul pelbagai buah fikiran daripada pekerja-pekerja dengan wakil-wakil rasmi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
  1. Bidang dan fungsi Majlis hendaklah tertumpu hanya kepada perkara-perkara yang termasuk di dalam bidang kuasa Majlis yang mana adalah seperti berikut:-
    1. membincangkan dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada berkaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali semua perkara mengenai pekerja-pekerja perseorangan;
    2. membolehkan kakitangan mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab di atas perkara-perkara mengenai kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat bawah mana tugas-tugas mereka dijalankan;
    3. menggalakkan penyertaan kakitangan dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapat pengetahuan yang lebih lagi mengenai pentadbiran pelbagai bahagian/ unit; dan
    4. menyediakan ruang bagi memperbaiki perjalanan dan organisasi pejabat serta peruntukan bagi menerima cadangan dan syor-syor dari kakitangan mengenai perkara ini.