Pemantauan Audit Lapangan Di KESEDAR Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menerima lawatan pemantauan audit lapangan oleh pihak Jabatan Audit Negara sempena pelaksanaan audit kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024.

Lawatan ini bertujuan untuk memantau secara langsung perjalanan audit yang sedang dijalankan oleh firma audit swasta ke atas penyata kewangan KESEDAR bagi tahun kewangan 2023.

Audit oleh firma audit swasta tersebut telah bermula pada 13 Mei dan berakhir pada 29 Mei lalu.

Sepanjang tempoh ini, pasukan audit berkenaan telah ditempatkan sepenuhnya di Bahagian Kewangan KESEDAR bagi meneliti dokumen kewangan serta menilai sistem kawalan dalaman organisasi.

Lawatan pemantauan kali ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Audit Negeri Kelantan, Encik Azmi Bin Hassan.

Kunjungan ini bertujuan untuk merapatkan hubungan kerja antara Jabatan Audit Negara dan KESEDAR serta memberikan sokongan terhadap proses audit yang sedang berlangsung.

Pihak KESEDAR merakamkan ucapan penghargaan atas kesudian pihak audit hadir menjalankan pemantauan dan memberikan input berharga bagi memperkukuh sistem tadbir urus kewangan.

KESEDAR komited untuk terus memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan dalam semua urusan kewangan sejajar dengan prinsip tadbir urus yang baik.