Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) merupakan sebuah Lembaga Kemajuan Wilayah yang ditubuhkan pada 1 Mei 1978 di bawah Akta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan 1978 (Akta 203). Pelancaran perasmian penubuhannya disempurnakan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia Ketiga pada 5 Mac 1978 bertempat di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan. Penubuhan KESEDAR bertujuan mengimbangi komposisi penduduk di antara Kelantan Selatan dengan Kelantan Utara, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Kawasan Kelantan Selatan merupakan kawasan yang berbukit-bukau dimana hampir 50% daripadanya mempunyai kecerunan lebih daripada 25° dan hanya 10% sahaja yang mempunyai kecerunan kurang daripada 15°. Walaupun mempunyai kawasan yang luas namun hanya 20% sahaja yang berpotensi untuk pembangunan sektor pertanian.
Kepentingan pembangunan di Wilayah Kelantan Selatan telah mendorong persekutuan menubuhkan KESEDAR supaya pembangunan dapat diseimbangkan antara wilayah di negara ini. KESEDAR merupakan Lembaga Kemajuan Wilayah yang keempat ditubuhkan selepas Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA-1971), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA-1972) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH-1973).
Pusat pentadbiran pertama KESEDAR terletak di Tingkat 2, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu apabila Pengurus Besar pertama, YBhg. Dato’ Ariffin bin Said melapor diri pada 1 Jun 1978. Akibat daripada penambahan bilangan pejabat yang berterusan maka KESEDAR telah mendapatkan Ibu Pejabat sementara yang terletak di Bangunan Lembaga Urusan Tabung Haji. Namun demikian, hasrat dan perancangan untuk membina bangunan ibu pejabat di Gua Musang telah diilhamkan oleh YBM. Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan Malaysia pada masa itu.
Kerja-kerja pembinaan kompleks Ibu Pejabat Ibu Pejabat KESEDAR telah bermula pada 16 Jun 1984 di atas kawasan seluas 16.06 hektar. Pembinaan kompleks ini bercirikan senibina tempatan dan keaslian Melayu lama, khususnya pada rekaan bumbung, dan penggunaan bahan-bahan keluaran tempatan. Kompleks ini telah siap dibina pada 30 Ogos 1986 dengan menelan belanja RM8.014juta.
Kompleks Ibu Pejabat KESEDAR ini menggabungkan 3 blok utama dengan keluasan lantai 9,120 meter persegi. Ianya telah dirasmikan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan dalam suasana yang penuh warna-warni dan tradisi Negeri Cik Siti Wan Kembang pada 30 April 1987.
Semua pegawai dan kakitangan KESEDAR telah berpindah ke Ibu Pejabat yang baru ini bermula pada bulan Oktober 1985. Kompleks Ibu Pejabat ini merupakan ini merupakan antara bangunan yang amat penting di Gua Musang ke arah menggalakkan pembangunan di Wilayah Kelantan Selatan. Bermula tahun 1986, ia menjadi pusat pentadbiran bagi keseluruhan kawasan Kelantan Selatan dan merupakan nadi penggerak kepada semua program dan aktiviti pembangunan KESEDAR.
Kedudukan kawasan Kelantan Selatan yang jauh daripada Pusat Pentadbiran Kota Bharu telah menyukarkan sebarang bentuk pembangunan. Kemudahan asas, infrastruktur dan sosial disediakan pada tahap paling minima berbanding kawasan ini di negeri ini. Keadaan sebegini telah memberi kesan kepada pembangunan sosio-ekonomi kerana melibatkan kesukaran perhubungan, ketiadaan bekalan air dam elektrik, perkhidmatan, kesihatan dan pelajaran.
Faktor lokasi dan kemudahan telah mempengaruhi komposisi penduduk di Wilayah Kelantan Utara dengan Wilayah Kelantan Selatan. Di awal tahun 1980an, nisbah penduduk di Kelantan Utara (719,827 orang) dengan Kelantan Selatan (139,543 orang) adalah pada kadar 6.1. Manakala kepadatan penduduk di Kelantan Utara ialah 279 orang per kilometer berbanding hanya 11 orang per kilometer di Wilayah Kelantan Selatan. Ini bermakna kawasan Kelantan Selatan yang meliputi 83% keluasan Negeri Kelantan didiami hanya oleh 16% sahaja daripada penduduk Negeri Kelantan.
Kawasan Kelantan Selatan terletak di selatan Negeri Kelantan bersempadan dengan Thailand di utara, negeri Perak di barat, negeri Pahang di selatan dan negeri Terengganu di timur. Kawasan ini meliputi tiga per empat (3/4) daripada keluasan negeri Kelantan iaitu merangkumi kawasan seluas 1.234juta hektar yang meliputi Jajahan Gua Musang (797,976 ha.), Jajahan Kuala Krai (335,689 ha.) dan Jajahan Tanah Merah (72,273 ha.).
Negeri Kelantan meliputi kawasan seluas 1.5 juta hektar merupakan negeri termiskin di Malaysia pada awal 1980an Keluaran Dalam Negeri Kasar adalah terendah di Malaysia iaitu kira-kira RM1,740.00 dan hanya 46% daripada peratusan negara yang berjumlah RM3,758.00. Kawasan Kelantan Selatan dalam konteks Negeri Kelantan adalah paling miskin diantara yang miskin kerana purata pendapatan penduduknya berada di bawah paras kemiskinan iaitu RM259 sebulan (1985). Ini berkait rapat dengan pekerjaan yang mana hampir 80% penduduknya terlibat dalam sektor pertanian.