MoU TVET KESEDAR, Perkasa Kemahiran Belia Luar Bandar

Kawasan Kelantan Selatan khususnya Gua Musang, amat memerlukan akses kepada latihan kemahiran yang tersusun dan selari dengan keperluan industri semasa.

Menyedari keperluan ini, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah mengumumkan penubuhan Pusat TVET KESEDAR semasa Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan PPD RKT KESEDAR Sungai Asap pada 30 Julai 2024.

Sebagai langkah permulaan, KESEDAR telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Kolej Vokasional Sei Ryu Sha dalam membangunkan program TVET yang holistik dan berimpak tinggi.

Gabungan kekuatan KESEDAR dalam jaringan komuniti serta kepakaran Sei Ryu Sha dalam pembangunan kurikulum dan latihan industri diyakini mampu menghasilkan sinergi yang mampan dan strategik.

Hari ini, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pelaksanaan Program TVET antara KESEDAR dan Kolej Vokasional Sei Ryu Sha telah disempurnakan di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat KESEDAR Gua Musang.

Majlis ini menyaksikan Ketua Operasi Kolej, Dr. Wan Yusoff Wan Ismail dan Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W. Muhd Rahimi bin W. Daud menandatangani MoU sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkasa belia luar bandar melalui latihan kemahiran yang tersusun.

Ia juga seiring dengan pengumuman kerajaan mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya TVET Malaysia yang akan menyelaras keseluruhan sistem latihan teknikal negara. KESEDAR menyambut baik langkah ini kerana ia dapat memastikan program TVET yang ditawarkan kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa.

Bermula tahun ini, KESEDAR merancang melaksanakan dua program utama iaitu Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dengan 100 peserta serta Program Rehabilitasi Komuniti dengan 30 peserta. Kedua-duanya menekankan latihan praktikal berdasarkan modul kemahiran yang diperlukan industri, melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM800,000.

Pusat TVET KESEDAR diharap dapat menjadi Hab Latihan Kemahiran Luar Bandar yang progresif dan tersohor di peringkat negeri dan negara. KESEDAR juga merancang mewujudkan Inkubator Usahawan TVET serta menjalin lebih banyak kerjasama dengan agensi seperti MARA, TEKUN, SME Corp dan syarikat industri tempatan bagi memastikan pembangunan modal insan luar bandar terus diperkasa secara berterusan.